Tika aku di sini

Tika aku di sini
Memandangmu, menunggumu, memanggilmu, merinduimu, mencarimu, mendakapi, berbicara denganmu, melagu pilu. Syukurku atas pertemuan itu, redhaku atas perpisahan itu, doaku yang terbaik buatmu..amin

Bisikan ombak..

Pada nyanyian ombak malam yang memukul pantaiku cuba coretkan sebuah harapan sebuah nukilan....dan perasaan yang tidak pernah luntur dari sudut hati, mesra pada senyuman…

Tidak hairan akan mereka yang tidak sudi mendengar…entah pada siapa ingin ku tuju coretanku..Entah lurus entah tidak bicara ku…ada budi ada ingin ada sudi berbicaralah kita..

Walaupun pada nada dan irama yang berbeza..Sukarnya meramal perasaan ku sendiri…zahirku tidak terucap..Demi masa berjalan gagah…ku susuri dengan lesu. Ku kutip ku atur dengan penuh ketabahan. Ku susun ku kumpul menjadi simpulan madu, menjadi ukiran kukuh dan menjadi hiasan pujukan jiwa…

Bisikan rasa..

Bila hati menyentuh rasa yang sama, jiwa melahirkan perasaan yang indah.. Bila kata mengusik minda akal mengujudkan reaksi berbeza.. Hati, jiwa, akal dan minda bersimpul mati menjadi satu.. Carilah sebutir permata dalam timbunan kaca walaupun dijarimu terluka.. tiada cinta yang lebih hakiki selain cinta Ilahi…

Bisikan perindu...

Rindu ku susut di celah nyanyi angin kasih, kutaruh di pura waktu, bermusim ku simpan resah. Biar waktu dan pasir itu berserakan. Biarkan cahaya itu memancar menyala pada suram alam maya.

Engkau tiba bagaikan pelangi, tak bercahaya namun kau berseri. Tapi cukup menghiburkan hati ini... Seharian bersamamu tak terasa saat yang berlalu. Bagai pelangi petang kau kan pergi jua...

Monday, March 12, 2007

Lihatlah ke arah awan,
jangan melihat kearah tanah…
Seandainya tiada nyala api yang ada di sebelahku,
Tentulah bau harum kayu gaharu tidak
akan tercium.


Malam merangkak penuh kepayahan menuju ke pagi. Bilah-bilah kipas berolang-alingtidak sekata dengan bunyinya yang lelah metah membelah udara malam. Ah, sukarnya untuk mendodoikan mata walaupun dingin malam mengipas ke tubuh. Cuba dikalahkan tetapi jaganya tidak mahu mengaku tewas lalu dalam lingkup cahaya yang sedikit suram aku duduk berlunjur di atas katil dengan dengus
yang berat melangut sendirian. Apabila akal berombak-ombak laju mata tidak mahu beradu.

KALAULAH dunia di tangan ini, sudah pasti bukan ini yang di tetapkan.
Bukan begini yang di suratkan dalam perjalanan hidup ini. Setiap perjalanan yang
aku lalui ialah dengan keizinan dan kehendakNya. Tanpa belas ihsan daripada Allah,
tiadalah upaya aku meneruskan meskipun dikuatkan seluruh hati. Tetapi berbekalkan
sisa-sisa kekuatan yang sentiasa di pohon daripada Allah setiap kali ditimpa musibah,
maka aku berdiri hari ini dengan harapan dapat memulihkan kembali kekeruhan yang
berlaku. Mengenangkan asal lahir diri ini memang dicipta sebagai manusia yang
dikembarakan waktu, seharusnyalah aku menjadi insan yang kuat. Bukannya seorang
insan yang lena dalam buaian kemanjaan dan murah dengan tangisan.


Aku bagai mahu mengejar cintanya hingga ke mana-mana tetapi semakin ku kejar semakin jauh dia meninggalkan. Pada detik itu serasa seolah-olah tiada bumi dibawahtelapak kakiku. Akukah kolek yang setia, masih terumbang-ambing dilautan sedangbadai menghempas kencang. Lupakah aku bila-bila waktu aku boleh karam. Lupakah aku bila-bila masa aku boleh tenggelam.

Sayang, hanya aku disini mabuk kepayang mengenang dia seorang. Kadang-kadang dia menjadi satu bahan luka-teramat luka. Dalam luka ku simpan cinta ini. Pisau siapakah yang menoreh-noreh, merobek-robek hati. Aku menolak perempuan lain, aku mengenepikan perempuan lain tetapi kelebihan apakah seorang dia maka aku jatuh cinta sebegini rupa?

Semuanya seperti mimpi – indah tetapi menakutkan. Pedih dan menyakitkan.
Bisanya meradak-radak tangkai hati. Akulah camar senja yang pulang ke sarang,
masih menanti mentari terbit. Mentari itu engkaulah. Sampai saat ini ku tulis, engkau tidak
padam dari ingatan.


Wahai Tuhan semesta alam,
Sesungguhnya aku berserah diri kepada Engkau.
Ya Tuhanku, kasihanilah kelemahan kami.
Engkau adalah Maha Penyayang

No comments: